Gambaran umum Quincy

Tidak seperti shinigami yang menggunakan pedang sebagai senjata utama, senjata Quincy ialah sepasang busur dan panah. Senjata ini dibina daripada zarah-zarah semangat yang diserap daripada persekitaran, tidak seperti shinigami yang bergantung kepada tenaga semangat masing-masing. Quincy juga mempunyai benang semangat yang berwarna putih seperti manusia biasa manakala benang semangat shinigami berwarna merah. Busur Quincy diseru dengan menggunakan sejenis artifak yang dikenali sebagai Salib Quincy. Satu-satunya batasan kepada kebolehan seorang Quincy untuk membina dan menembak panah adalah stamina dan keupayaan mereka untuk menyerap zarah-zarah semangat. Quincy juga mempunyai beraneka jenis alatan yang boleh meningkatkan kuasa atau berfungsi sebagai senjata kedua.

Satu lagi kontra antara shinigami dengan Quincy adalah cara kombat. Shinigami membersihkan jiwa hollow, yakni mengekalkan keseimbangan di antara dunia nyata dan dunia semangat tetapi Quincy memusnahkan "hollow" secara langsung. Jika hal ini dibiarkan, keseimbangan antara dua dunia tersebut akan terjejas, sekaligus membahayakan penghuni-penghuninya. Ancaman ini menjadi punca utama tercetusnya peperangan shinigami-Quincy yang berakhir dengan kemenangan shinigami dan kematian kebanyakan ahli daripada puak Quincy. Waris kepada puak ini diawasi dengan ketat walaupun bilangan Quincy terus berkurangan dengan masa. Kemudiannya, Quincy berpendapat bahawa memandangkan mereka masih berada dalam kalangan komuniti hidup dan belum pupus sepenuhnya, mereka boleh bertindak sebagai "petindak pertama" kepada serangan hollow. Maka, Quincy juga dapat memainkan peranan mereka sebagai pelindung kepada manusia sehinggalah shinigami berupaya menghantar wakil untuk menghapuskan hollow tersebut. Tetapi, oleh sebab kerapuhan hubungan antara kedua-dua kaum tersebut rentetan daripada peperangan shinigami-Quincy, para shinigami menolak cadangan tersebut. Hal ini menyebabkan Ishida Uryū, rakan sekelas Ichigo dan juga seorang Quincy, memendam kemarahan terhadap shinigami kerana datuknya (perunding terakhir kepada rancangan Quincy tersebut) telah dibunuh oleh sekumpulan hollow sebelum shinigami tiba ke tempat kejadian.

Kontra terakhir antara Quincy dengan shinigami adalah pilihan mereka dalam isu seragam. Shinigami memakai hakama hitam tradisional yang longgar manakala seragam Quincy berwarna putih, berkolar tinggi dan lebih ketat. Maka, Quincy seolah-olah mempunyai stail Barat atau asing jika dibandingkan dengan shinigami. Satu lagi motif jelas yang berulangan bagi puak Quincy ialah simbol salib yang sering tertera pada seragam dan artifak yang digunakan. Malah, salib ini tidak selalunya sama dengan individu Quincy yang lain (Uryū menggunakan salib Celtic sementara Ryūken menggunakan bintang lima bucu). Salib berbucu enam juga pernah dijahit pada pakaian Uryū suatu ketika dahulu.